fbpx

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke istiadat perbarisan menjunjung kasih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al-Sultan Abdullah (tengah) diiringi Mohammad (kiri) ketika memeriksa perbarisan dengan menaiki kenderaan pemeriksa, Toyota Cygnus di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, hari ini. -Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI di Kem Perdana Sungai Besi di sini, hari ini.

Istiadat perbarisan itu diadakan sebagai penghargaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Al-Sultan Abdullah yang juga Pemerintah Tertinggi ATM dan Tunku Azizah atas tamat tempoh rasmi perkhidmatan baginda berdua sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke-16.

Keberangkatan tiba pasangan diraja itu di Dataran Panglima Tentera Darat di sini pada pukul 9 pagi disambut dengan ‘Hormat Diraja’ oleh peserta perbarisan sebelum disusuli lagu Negaraku.

Perbarisan tersebut turut menyaksikan terbang lintas hormat lima helikopter ATM yang membawa Jalur Gemilang, bendera ATM, Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Turut hadir, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin, dan timbalannya, Adly Zahari serta Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman.

Untuk rekod, Al-Sultan Abdullah yang akan menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari ini akan digantikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI