KOTA TINGGI – Pemandu Perodua Myvi yang berdepan detik cemas selepas keretanya terjatuh ke dalam longkang besar di sini tidak mengalami sebarang kecederaan selepas terlibat insiden itu pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora ketika mengesahkan kejadian itu berkata, kejadian kereta terbabas dan dihanyutkan arus air itu berlaku di Kilometer 42.5 Jalan Johor Bahru – Mersing.
Katanya, kereta yang dipandu wanita berusia 37 tahun bersama penumpang yang juga kenalannya wanita berusia 43 tahun dipercayai terbabas semasa lalu jalan yang dilintasi air di kawasan tersebut.
“Pihak polis mengesan sebuah video vital pada pukul 9.20 pagi tadi. Satu laporan polis telah diterima berhubung kejadian. Hasil siasatan awal kereta yang dipandu mangsa terbabas setelah hilang kawalan dan masuk ke dalam longkang besar sebelah kanan arah menghala ke Kota Tinggi.
“Kedua-dua mangsa telah diselamatkan oleh orang awam apabila kenderaan dihanyutkan arus air yang deras. Pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala penumpang mengalami cedera ringan dan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kota Tinggi,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE