fbpx

CEO KFA dilepas dengan jaminan SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Zulkifli Che Haron telah dilepaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pagi tadi.

Menurut sebuah kenyataan, Zulkifli dibebaskan pada pukul 10 pagi setelah selesai memberi keterangan bersama tiga individu yang lain.

Pengerusi Jawatankuasa Media dan Perhubungan Awam KFA, Ibrahim Ismail meminta agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan menghentikan tuduhan yang tidak berasas.

“Kes ini masih di peringkat awal siasatan. Persatuan menafikan sema bentuk keterlibatan rasuah. Seseorang adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya,” katanya.

Ibrahim juga menegaskan, persatuan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana projek yang dijalankan oleh kerajaan negeri.

“Pelantikan CEO adalah bagi melancarkan pentadbiran dan fungsi sekretariat di bawah Setiausaha Kehormat menurut Statut Persatuan.

“Menurut Statut Persatuan, kesemua keputusan persatuan perlu diputuskan di bawah Jawatankuasa Eksekutif (Exco KFA). CEO hanya menjalankan tugas bagi melicinkan pentadbiran persatuan,” katanya.

Ibrahim menjelaskan, sepanjang penubuhan KFA, pendapatan utama adalah dari sumbangan syarikat dan badan-badan korporat.

“Segala penerimaan wang telah direkodkan dalam laporan kewangan persatuan dan dibentangkan. Sumbangan diterima adalah tanpa imbalan dan prasangka,” jelasnya.

Tambah Ibrahim, CEO KFA sebelum ini telah menyelesaikan isu tunggakan gaji dan tuntutan hutang semenjak pentadbiran persatuan bertukar kepimpinan.

“Hasil perlantikan tersebut juga telah berjaya merekodkan kejayaan proses pemisahan pasukan bola sepak FA kepada FC selain kejayaan memiliki pejabat pentadbiran sendiri pada
2023,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, SPRM menahan reman Zulkifli dan tiga individu berusia antara 40 hingga 60 tahun bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah bernilai RM6 juta.

Wang rasuah berkenaan dipercayai sebagai balasan bagi membantu seorang pemilik syarikat mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji takungan air di Kedah.

Rentetan itu, Zulkifli telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan SPRM pada Khamis, 4 Januari.

Pada pukul 9.25 malam, pihak SPRM telah memaklumkan kepada peguam mengenai tangkapan dan proses reman yang akan dibuat pada hari Jumaat, 5 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI