TOKYO – Satu kajian mendapati bahawa lebih satu pertiga daripada golongan dewasa bujang di Jepun tidak pernah menjalin hubungan cinta, manakala satu perempat lagi tidak berhasrat untuk mendirikan rumah tangga.
Agensi berita Kyodo melaporkan, individu-individu tersebut berumur dalam lingkungan 20-an hingga 40-an.
Menurut kajian tersebut, sebanyak 34.1 peratus lelaki dan wanita bujang mengaku tidak pernah mempunyai hubungan romantik.
Selain itu, 25.6 peratus golongan dewasa di Jepun enggan mendirikan rumah tangga.
Sebanyak 42.5 peratus lelaki daripada semua peringkat umur menyatakan alasan kewangan sebagai punca kepada keadaan tersebut, manakala 40.3 peratus wanita menyatakan tidak mahu berkompromi berhubung kebebasan.
Kajian itu dilakukan pada September tahun lalu dan didedahkan pada bulan ini. Ia melibatkan 1,200 golongan dewasa bujang yang tidak pernah berkahwin. – AGENSI