KARIER penyerang import, Fernando Forestieri bersama juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) ternoktah setelah pemain kelahiran Argentina itu disahkan tidak lagi bersama pasukan itu pada musim depan.
Berita perpisahan pemain itu diumumkan di Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers, semalam.
Forestieri, 33, menjadi pemain import ketiga meninggalkan kelab itu selepas rakan senegaranya, Leandro Velazquez dan penyerang kelahiran Brazil, Diogo Luis Santo.
Forestieri memenangi trofi pertama sepanjang karier bola sepaknya bersama JDT ketika membantu pasukan menjulang Piala Sumbangsih pada awal musim 2022.
“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ingin mengucapkan terima kasih kepada Fernando Forestieri atas sumbangannya kepada Harimau Selatan sejak menyertai kelab pada permulaan musim 2022.
“Penyerang ini adalah sebahagian daripada skuad Harimau Selatan yang mencipta sejarah memenangi ‘double quadruple’ pada 2022 dan 2023,” menurut hantaran di Facebook Johor Southern Tigers.
Forestieri menamatkan kariernya bersama JDT dengan menjaringkan 47 gol dan 21 bantuan jaringan menerusi 69 penampilan dengan kelab.
Perpindahan keluar pemain itu membuka pintu kepada Harimau Selatan untuk mendaftar pemain import baharu bagi memperkuatkan pasukan pada saingan Liga Malaysia musim 2024/25.