fbpx

Fuad dah berubah, dia suami yang baik – Tom

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tom menegaskan bahawa dia dapat melihat perubahan Fuad, bukan sahaja sebagai lelaki tetapi juga suami serta bapa tiri kepada anak-anaknya.

PETALING JAYA – Penyanyi Tom tampil mempertahankan suaminya, Fuad Rahman apabila netizen meragui jejaka itu sudah berubah.

Lebih memilukan apabila Tom turut dikatakan telah tersalah memilih pasangan selepas berkahwin dengan Fuad yang dianggap tidak sesuai untuk dijadikan suami.

“Lelaki macam dia (Fuad) pandai bercakap sahaja. Mereka susah nak berubah. Tidak perlu hendak bersimpati dengan mereka,” tulis seorang pengguna dalam TikTok.

“Tak sesuailah Fuad dengan Tom (berkahwin),” tulis seorang lagi netizen.

Enggan berdiam diri, Tom atau nama sebenarnya Raja Farah Afzal Raja Ikram, 38, berkata sebagai isteri, dia dapat melihat perubahan Fuad, bukan sahaja sebagai lelaki tetapi juga suami serta bapa tiri kepada anak-anaknya.

Walaupun masih dibayangi persepsi buruk, Tom berkata dia tidak peduli dengan tanggapan tersebut kerana yakin telah membuat keputusan yang tepat untuk berkahwin dengan jejaka kelahiran Singapura itu.

“Biarlah orang nak cakap abang (panggilan suaminya) tidak akan dapat berubah (sikap). Dan, pilihan abang jadikan saya seorang isteri tidak sesuai. Abang tidak akan berubah apabila dengan saya.

“Apa yang penting saya tahu abang kuat dan sudah berubah. Abang suami yang baik dan bapa yang baik. Orang luar hanya tahu bercakap.

“Saya yang serumah dengan abang. Saya tahu abang telah berubah,” ujarnya.

Pada masa sama, bekas peserta program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) itu turut berharap agar suaminya sabar dan kuat dengan segala fitnah yang dilemparkan terhadapnya.

“Harap suami saya banyak bersabar. Saya tahu abang kuat,” kata Tom.

Menerusi hantaran berbeza yang dimuat naik dalam InstaStory miliknya, Tom yang kini sarat hamil lapan bulan turut berkongsi sepotong video pendek menunjukkan ‘syurganya’ sedang mengerjakan solat.

Kata Tom, dia mengakui simpati dengan nasib suaminya yang berterusan dihakimi orang ramai.

“Kasihan tengok abang. Orang asyik ‘judge’ abang. Sedangkan mereka tidak tahu, abanglah orang yang paling baik dan bertanggungjawab yang pernah saya jumpa,” katanya.

Terdahulu, pasangan selebriti itu mendirikan rumah tangga dalam sebuah majlis tertutup pada 26 Februari lalu di Batam, Indonesia.

Mereka sebelum ini pernah menjalin hubungan cinta sekitar 2005 namun ikatan terputus lima tahun kemudian apabila Fuad ditahan polis Singapura dan dijatuhkan hukuman penjara akibat penyalahgunaan dadah.

Cinta mereka kembali bertaut selepas sama-sama terlibat dalam GV9 tahun lalu. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI