PETALING JAYA – Rajin memasak meski sedang bercuti di negara orang, pelakon Datin Intan Najuwa disifatkan netizen sebagai isteri mithali yang pandai menjaga perut suami.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam TikTok, pemilik nama penuh Intan Najuwa Abdul Wahid itu berkongsi pelbagai jenis lauk dimasak sendiri sepanjang bercuti di New Zealand bersama suami tercinta, Datuk Ahmad Asraf Azman.
“Pergilah jauh mana pun, tetap kena masak untuk suami tercinta.
“Macam- macam menu sudah cuba sampai dah buntu nak masak apa lagi untuk seterusnya,” ujarnya menerusi ruangan kapsyen video tersebut.
Dalam hantaran sama, aktres berusia 27 tahun itu menzahirkan rasa syukur kerana mudah mendapatkan bekalan barangan halal di pasaraya negara terbabit sekali gus melancarkan proses memasak setiap hari.
“Sangat bersyukur sebab mudah dapat bekalan makanan, ada pasar raya halal dekat sini.
“Kicap kipas udang pun ada,” kata Intan.
Menjengah ruangan komen, rata-rata warganet memuji kerajinan Intan dan menyifatkan Asraf lelaki bertuah kerana dikurniakan isteri yang mempunyai pakej lengkap.
“Hantaran yang suami dia bagi berbaloi, sudahlah cantik, bijak, pandai pula jaga perut suami, bertuah Asraf dapat Intan,” komen seorang netizen.
“Duit berkepok tetap masak untuk suami sebab tahu tanggungjawab, moga rumah tangga kalian kekal hingga ke syurga, teruskan berkasih sayang sebagai suami isteri yang penuh rasa cinta berpanjangan,” demikian komen seorang pengguna media sosial.
Intan selamat sah isteri kepada Asraf yang juga ahli perniagaan dalam majlis serba indah berlangsung di sebuah resort mewah di Desaru Coast, Johor, pada 18 Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE.