TENOM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan syarikat pengendali terlibat kes penipuan pakej umrah membabitkan 47 mangsa Disember lalu, bakal didakwa di mahkamah pada 9 Januari ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pendakwaan akan dilakukan di bawah Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999.
“Sebanyak 88 kertas siasatan sudah dibuka, manakala sebahagiannya sudah lengkap dan syarikat yang berpengkalan di Putrajaya itu telah menerima notis untuk pendakwaan,” katanya selepas meninjau pelaksaan Program Pengedaran Barang Perlu, gas petroleum cecair LPG dan Community Drumming (PoS to PoS) di sekitar daerah Tenom, hari ini.
Mengulas lanjut, Armizan menyatakan bidang kuasa KPDN dalam isu penipuan pakej umrah seumpama itu adalah terkait kepada aspek kepenggunaan, sementara aspek perlesenan, elemen jenayah serta lain-lain adalah di bawah bidang kuasa kementerian dan agensi lain.
Terdahulu, Armizan ketika mengulas tentang kes sama sebelum ini, meminta semua mangsa kes penipuan pakej umrah terbabit membuat aduan rasmi kepada KPDN bagi memudahkan siasatan terperinci dilaksanakan.
Terdahulu, seramai 47 mangsa kes penipuan pakej umrah pada Disember lalu menggesa KPDN mengambil tindakan terhadap sebuah syarikat pelancongan selepas gagal membayar ganti rugi seperti diminta Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM). – KOSMO! ONLINE