BAHRAIN – Pelumba pasukan Haas, Romain Grosjean mengakui teknologi penghadang keselamatan Halo telah menyelamatkan nyawanya ketika terlibat dalam kemalangan ngeri ketika aksi di Grand Prix (GP) Bahrain malam kelmarin.
Pada perlumbaan tersebut, Grosjean yang sedang berada pada kelajuan tinggi hilang kawalan selepas jenteranya terlanggar jentera pelumba AlphaTauri, Daniil Kvyat di pusingan pertama.
Insiden tersebut menyebabkan Grosjean terus gagal mengawal jenteranya dan melanggar penghadang litar hingga menyebabkan ia terputus dua lalu terbakar.
Pelumba berusia 34 tahun itu bernasib baik apabila berjaya keluar dari jenteranya ketika api sedang marak akibat kemalangan tersebut.
Grosjean tidak mengalami kecederaan serius kecuali kedua-dua belah tangannya melecur, namun mengesahkan bahawa dirinya berada dalam keadaan stabil.
Alat keselamatan itu menjadi kontroversi sejak ia di perkenalkan pada musim 2018 dan Grosjean antara pelumba yang membantah keras penggunaan Halo.
“Saya dalam keadaan baik dan terima kasih kepada semua yang bertanyakan keadaan saya ketika ini. Saya antara individu menentang penggunaan Halo beberapa tahun yang lalu tetapi saya rasakan ia adalah yang terbaik dalam F1.
“Tanpa Halo mungkin saya tidak dapat bercakap dengan anda semua pada hari ini. Terima kasih kepada semua yang membantu saya ketika insiden tersebut. Saya harap cepat pulih dari kecederaan ini,” kata Grosjean. – AGENSI