fbpx

Op Kutip: 31 warga asing ditahan sekitar kawasan tumpuan ibu kota

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Warga asing yang ditahan dibawa ke pejabat Imigresen Kuala Lumpur, Jalan Duta untuk proses dokumentasi.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen (JIM) menahan seramai 31 warga asing termasuk dua wanita menerusi Op Kutip di sekitar kawasan tumpuan di ibu kota, malam tadi.

Dalam serbuan bermula pukul 9.30 malam, mereka yang berusia antara 19 hingga 50 tahun ditahan selepas disyaki melakukan pelbagai kesalahan termasuk menyalahgunakan pas dengan menjalankan perniagaan.

Operasi dijalankan di sekitar menara berkembar KLCC, Pavillion Bukit Bintang dan Jambatan Saloma, di sini hasil risikan selama satu minggu dan aduan orang ramai mengenai kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI).

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Jafri Embok Taha berkata, serbuan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membabitkan kekuatan 46 pegawai dan anggota.

“Kita menjalankan risikan selama seminggu berdasarkan maklumat awam sebelum operasi dijalankan malam ini.

“Seramai 120 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu, 31 individu ditahan atas pelbagai kesalahan iaitu 24 ditahan sekitar KLCC, manakala tujuh ditahan di Pavillion.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada lapan warga Bangladesh, India (6), masing-masing empat warga Indonesia, Pakistan dan Nepal, Filipina (3), masing-masing satu Afghanistan serta Syria,” katanya pada sidang akhbar di lokasi serbuan di KLCC di sini, malam tadi.

Tambah Jafri, beliau memaklumkan terdapat warga asing mengambil ringan soal membawa dokumen pengenalan diri yang sah ketika berjalan-jalan di ibu kota.

Katanya, antara alasan yang diberikan adalah dokumen tersebut tertinggal di hotel, letak di dalam kereta selain ada yang hanya membawa salinan fotostat daripada yang asli.

“Terdapat warga asing yang mengambil ringan tidak membawa dokumen mereka kemana-mana, mereka perlu membawa dokumen asli bersama sekiranya tidak mahu ditahan.

“Perkara sama terpakai kepada warganegara, kalau tidak memiliki kad pengenalan sewaktu diperiksa, kita terpaksa tahan sehingga dapat dibuktikan kewarganegaraan dengan dokumen yang sah dan asli,” ujarnya.

Mengulas kembali mengenai tangkapan tersebut, Jafri memaklumkan kesemua ditahan akan dibawa ke Pejabat JIM Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

Jelas beliau, warga asing yang didapati melanggar peraturan akan dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39B Peraturan Imigresen,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI