PERANCANGAN jangka panjang terutama menaikkan semula Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (KLCA) membuatkan bekas prinsipal pasukan RNF Racing, Datuk Razlan Razali menyatakan kesediaan untuk menjadi presiden baharu badan induk itu.
Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh ahli Jawatankuasa KLCA, Datuk Ng Joo Ngan yang menjelaskan pihaknya amat memerlukan individu yang berpengaruh dan Razlan dilihat antara calon terbaik untuk menaikkan imej KLCA semula.
“Razlan bukanlah asing sebenarnya dengan KLCA, saya sendiri telah mengenalinya sejak dia berusia 14 tahun. Bagi saya dia masih mempunyai pengaruh dan kami amat memerlukannya bagi menarik penaja dan pihak yang berkaitan untuk memulihkan semula persatuan ini.
“Kami mahu kembali menjadi tempat yang menghasilkan produk-produk tempatan yang berkualiti tetapi jika kami tidak mempunyai dana yang mencukupi, ia adalah amat sukar untuk dijalankan.
“Jadi sebab itu kami bercadang untuk mengambil, tambahan dia juga turut meminati sukan berbasikal,” kata Joo Ngan
Dalam pada itu, Razlan yang pernah menyandang tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebelum beralih mengendalikan pasukan di kelas perdana MotoGP berkata, dia ditawarkan untuk memimpin KLCA selepa didatangi oleh Joo Ngan.
Selepas melakukan beberapa pertemuan terutama membincangkan perancangan 2024, dia akhirnya bersetuju dan bersedia menyahut cabaran bertanding jawatan presiden sekiranya dicalonkan pada mesyuarat Agung Tahunan pada bulan depan.
“Saya didatangi ahli jawatankuasa KLCA terutama menawarkan cadangan kepada saya untuk bertanding jawatan presiden sebelum Krismas lalu terutama untuk membina semula KLCA.
“Saya memberitahu mereka saya perlukan masa kerana saya tahu bukan mudah untuk mengendalikan persatuan kerana mempunyai pengalaman bersama Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM).
“Selepasi bertemu dengan Joo Ngan serta beberapa pelumba lain terutama perancangan jangka panjang akhirnya saya bersedia untuk bertanding jawatan presiden.
“Kita semua tahu bahawa KLCA adalah sebuah persatuan yang hebat sebelum ini, jadi kita mahu mengembalikan kegemilangan tersebut. Berpangkalan di Kuala Lumpur pasti memberi kelebihan,” katanya.
Antara perancangan awal dibincangkan ialah membentuk pasukan dengan lebih cepat sebagai persiapan ke arah Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak nanti.-KOSMO! Online