DUNGUN – Pengunjung Pantai Rantau Abang, di sini hari ini gempar dengan penemuan mayat dipercayai seorang lelaki tanpa kepala yang terdampar di pesisir pantai terbabit pada pukul 5.15 petang.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, sewaktu dijumpai, mayat yang masih tidak diketahui identiti terbabit sudah mereput selain pakaiannya koyak.
“Fizikal mayat itu yang sudah mereput menyukarkan kita tentukan identiti dan lingkungan umurnya, namun kita percaya ia dihanyutkan arus serta dipukul ombak sebelum terdampar,” katanya, di sini hari ini.
Maizura berkata, mayat tersebut telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun, di sini untuk tindakan lanjut, manakala siasatan terperinci akan dilakukan bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur jenayah atau sebaliknya.
“Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga dimohon tampil untuk membantu siasatan dan pengecaman,” katanya. – KOSMO! ONLINE