fbpx

‘Wanita kena kerat sudah lebih seminggu dibunuh’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAYAT mangsa tanpa kepala, tangan dan kaki dalam keadaan berbogel ditemui di dalam longkang di Pulau Sebang, Melaka minggu lalu.

ALOR GAJAH – Seorang wanita menjadi mangsa pembunuhan kejam apabila anggota badannya dipotong-potong sebelum mayatnya dalam keadaan bogel dibuang di dalam longkang di Kampung Rimau, Pulau Sebang di sini baru-baru ini.

Mangsa yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an itu dijumpai orang awam dalam keadaan tanpa kepala, kaki dan tangan di dalam tong sampah di longkang berkenaan.

Polis menerima maklumat berhubung penemuan mayat tanpa identiti itu pada pukul 2 petang, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, sebaik menerima maklumat, sepasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka melakukan siasatan di lokasi tersebut.

“Hasil siasatan di lokasi, polis menemui mayat wanita dalam keadaan berbogel dengan badannya tidak cukup sifat.

“Kita percaya kepala, kedua-dua tangan dan kaki si mati dipotong sebelum mayatnya dibuang.

“Pasukan forensik yang menjalankan siasatan lanjut di lokasi tidak menemui anggota badan si mati yang terpisah,” katanya dalam kenyataan semalam.

DI dalam longkang inilah mayat wanita disumbat dalam tong ditemui oleh orang awam. – SYAFEEQ AHMAD

Menurut Arshad, usaha mengesan anggota badan itu sedang giat dijalankan.

Pemeriksaan awal mendapati mayat mangsa dari badan ke lutut itu sudah mula mereput dan darah juga kering.

Terdapat sehelai kain berwarna merah di bahagian bawah mayat mangsa. namun tidak menutupi badan si mati.

“Tiada sebarang tanda atau tatu pada tubuh si mati,” katanya.

Polis tidak menolak kemungkinan wanita itu sudah meninggal dunia tujuh hingga 10 hari sebelum mayatnya dijumpai di lokasi berkenaan.

Mengulas lanjut, Arshad memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Alor Gajah di sini untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

“Kes disiasat mengikut Sek­syen 302 Kanun Keseksaan ke­rana membunuh. Setakat ini kita telah membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas dua kes orang hilang, tetapi keputusannya adalah negatif.

“Justeru polis meminta mana-mana pihak yang kehilangan ahli keluarga atau kenalan terdekat supaya menghubungi balai polis berhampiran,” kata beliau.

LOKASI penemuan mayat wanita tanpa kepala, tangan dan kaki di Kampung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah pada minggu lalu.

Sebarang maklumat boleh di­salurkan kepada Pegawai Penyia­sat Kanan, Deputi Superinten­dan Mohd. Ali Hanafiah Hasim di talian 019-9536 277.

Sementara itu, tinjauan Kos­mo! mendapati kawasan tersebut terletak bersebelahan de­ngan dusun dipercayai tanaman durian.

Lorong dua hala itu merupakan laluan utama menuju ke Tampin, Negeri Sembilan.

Tidak jauh dari lokasi penemuan mayat wanita itu, terdapat sebuah rumah dipercayai tidak berpenghuni. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI