fbpx

PBB tutup ibu pejabat, tidak mampu bayar bil elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail menunjukkan ibu pejabat PBB di Geneva. – AGENSI

GENEVA, Switzerland – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kekal menutup ibu pejabat di Eropah kerana organisasi antarabangsa berkenaan tidak mampu membayar kos  elektriknya, lapor portal berita Daily Express kelmarin.

Ibu pejabat Eropah PBB di Geneva itu akan kekal ditutup sehingga 12 Januari ini berikutan krisis kecairan berterusan yang mendorongnya melaksanakan langkah penjimatan.

Bangunan itu dibina antara tahun 1929 hingga 1936 dan telah berkhidmat sebagai ibu pejabat PBB di Eropah sejak 1966.

Namun, ketuanya memutuskan untuk menutup ibu pejabat itu pada 20 Disember tahun lalu untuk menjimatkan wang bagi mengelak pembayaran bil pemanasan, elektrik dan kos penyelenggaraan.

Jurucakap PBB, Alessandra Vellucci memberitahu agensi berita Keystone-ATS bahawa langkah itu terpaksa dilaksanakan selepas 50 negara anggota PBB gagal untuk membuat pembayaran sumbangan masing-masing seperti ditetapkan.

Setiap negara perlu membayar sumbangan yang berbeza berdasarkan formula kompleks dengan mengambil kira pendapatan negara dan penduduk masing-masing.

Formula itu bermakna negara lebih kaya membayar dalam jumlah yang banyak dan ketiadaan pembayaran lebih besar itu telah mencetuskan krisis kewangan.

Vellucci berkata, Amerika Syarikat yang merupakan anggota pengasas PBB dengan mempunyai Keluaran Dalam Negara Kasar terbesar di dunia adalah antara negara yang gagal membuat sumbangan tersebut. 

– AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI