KUALA LUMPUR – Pesara dan kakitangan kerajaan tidak terlepas menjadi mangsa penipuan pelaburan konsep patuh syariah sebuah syarikat koperasi yang beroperasi di Kota Bahru, Kelantan.
Ekoran itu, seramai 26 mangsa menanggung kerugian RM2.8 juta kerana modal dan dividen yang dijanjikan tidak diperoleh hasil taktik syarikat tersebut yang mencari pelanggan untuk melabur dalam pinjaman tanpa cagaran.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, modus operandi yang dilakukan koperasi itu adalah dengan mencari pelanggan yang berminat untuk menjadi ahli dan mendapatkan pendapatan sampingan.
Kata beliau, pelbagai bentuk pelaburan ditawarkan kepada mangsa menggunakan nama dan syarikat sendirian berhad sedangkan kegiatan tersebut dikuasai sepenuhnya oleh ahli lembaga koperasi itu.
Jelas beliau, konsep pelaburan yang ditawarkan oleh koperasi tersebut adalah dengan memberikan pinjaman tanpa cagaran kepada syarikat-syarikat sendirian berhad yang tidak dimiliki oleh koperasi tersebut.
“Syarikat sendirian berhad tersebut merupakan pelaksana 10 jenis skim pelaburan yang ditawarkan bagi mengaburkan mata dan mengelirukan mangsa.
“Wakil atau ejen yang dilantik kemudiannya akan memberikan penerangan kepada pelanggan yang berminat sedangkan tawaran itu hanya di atas kertas,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Beliau memberitahu, aduan yang diterima pihak MHO mendapati, pelabur mendakwa tidak pernah melihat atau dikemukakan rekod dan produk pelaburan yang ditawarkan koperasi itu.
“Tawaran program langganan saham juga dikatakan tidak sah dari segi undang-undang kerana syarikat-syarikat tersebut gagal dan tidak mematuhi kepada undang-undang yang diperuntukkan kerajaan untuk mengawal selia syarikat pelaburan di Malaysia.
“Program skim pelaburan yang ditawarkan oleh syarikat tersebut juga adalah merupakan satu janji yang tidak munasabah,” ujarnya.
Tambah beliau, mangsa didakwa tidak menerima bayaran dividen seperti yang dijanjikan oleh pihak syarikat.
“Tindakan ini tidak adil dan melampau kerana mangsa menggunakan wang simpanan mereka untuk melabur dalam koperasi ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hishamuddin menggesa pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi terlibat menjalankan siasatan ke atas syarikat yang sewenang-wenangnya menggunakan wang pelaburan diterima.
“Ramai mangsa mendakwa mereka membuat laporan polis, tetapi pegawai penyiasat mengklasifikasikan kes sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) dan rujuk agensi lain (ROA) atas alasan mempunyai perjanjian dan mangsa menerima sebahagian dividen mereka.
“Ini tidak adil kepada mereka, kerana kita mendapati kes ini mempunyai elemen penipuan dan pecah amanah,” katanya. -KOSMO! ONLINE.