LIVERPOOL – Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp mengakui lega pasukannya tidak perlu melakukan penggiliran pemain sepanjang Januari selepas melalui jadual padat bulan Disember lalu.
Biarpun kehilangan beberapa pemain tonggak yang beraksi di Piala Negara-Negara Afrika dan Piala Asia, jumlah pemain yang dimiliki Klopp masih cukup untuk memastikan Liverpool kekal dengan rentak terbaik.
Tengah malam ini, Liverpool bakal memulakan aksi Piala FA di pusingan ketiga dengan cabaran getir apabila dijadual berdepan Arsenal di Emirates sebelum melayan kunjungan Fulham untuk aksi separuh akhir EFL di Anfield.
“Kami berdepan jadual yang sangat padat sepanjang Disember, Januari adalah bulan yang normal, sibuk tetapi bukan ‘gila’. Bulan lalu kami terpaksa bermain lima perlawanan dalam tempoh 13 hari.
“Saya tidak fikir kami memerlukan sistem penggiliran untuk beraksi dalam dua perlawanan tersebut. Menentang Arsenal bukan suatu yang mudah, namun ia akan menjadi aksi hebat dan saya berharap kami mampu melaluinya dengan baik,” katanya.
Mengulas mengenai kemungkinan bakal melakukan sistem penggiliran pemain, Klopp mengakui beliau tidak menyukai proses berkenaan kerana menganggap ia mampu mengganggu ritma permainan pasukannya.
“Saya tidak pasti kami akan melakukannya bertemu Arsenal. Kami masih mempunyai pemain yang cukup untuk turun dengan kekuatan yang terbaik untuk perlawanan kali ini.
“Bagi pertemuan menentang Fulham tiga hari kemudian, kami akan fikirkannya selepas aksi ini (menentang Arsenal) berakhir. Kedua-dua perlawanan ini penting buat kami dan mahu memenanginya,” jelasnya. – AGENSI