PETALING JAYA – Tular di media sosial video memaparkan pergaduhan yang terjadi antara pemain bola sepak dipercayai berlaku di sebuah padang terletak di Gamuda Gardens, Rawang.
Menerusi video yang dimuat naik oleh @pengadilbola di aplikasi X, pergaduhan yang melibatkan lebih 30 individu itu difahamkan berlaku dalam kalangan pemain liga bawah umur.
Kelihatan pemain-pemain tersebut saling memukul satu sama lain menggunakan kerusi serta topi keledar, namun sehingga kini jumlah kecederaan tidak dapat dipastikan.
Di dalam video berkenaan kelihatan juga beberapa individu difahamkan ibu bapa kepada pemain-pemain terbabit yang bertindak untuk menghentikan pergaduhan.
Sehingga kini video tersebut mendapat lebih 74,000 tontonan, 923 ulang ciap dan 712 tanda suka.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang mengecam tindakan-tindakan individu tersebut yang bergaduh sesama mereka sehingga mencemarkan sukan bola sepak.
“Dah boleh ‘banned’. Banyak mudarat dan jadi barah dalam industri sukan dah ni. Makin menjadi-jadi saban tahun. Zaman millenial yang membuak-buak zaman pahlawan,” komen Shah Farhan.
“Haramkan mereka daripada mana-mana padang. Kalau boleh kongsi nama semua pemain ke operator padang. Tak pun denda semua buat kerja sosial,” komen Fikar.
“Hati tisu sepatutnya main congkak. Bukannya masuk padang. Buat malu je dekat orang, lagi-lagi ibu bapa yang sertai bergaduh,” komen pengguna lain pula. – KOSMO! ONLINE.