fbpx

35.7 peratus kes sporadik di Malaysia 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Sebanyak 23,480 kes atau 35.7 peratus daripada 65,697 kes positif Covid-19 yang dilaporkan sehingga kini sejak gelombang pertama pada 25 Januari adalah membabitkan kes sporadik.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah keseluruhan kes positif itu, kira-kira 65 peratus dapat dikaitkan dengan kluster tertentu.

“Ada juga kes sporadik yang dikesan awal dan kita kenal pasti kluster tersebut, jadi selepas itu, kita kaitkan dengan kluster. Ini menunjukkan virus tersebut sudah ada dalam komuniti dan kes sporadik semakin bertambah.

“Justeru inilah yang kita bimbangkan iaitu bagaimana menggunakan kaedah kesihatan awam untuk membendung jangkitan dalam negara,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Berikutan itu, Noor Hisham sekali lagi mengingatkan rakyat Malaysia untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelakkan jangkitan.

Ditanya mengenai kes jangkitan yang berpunca daripada pengangkutan awam, beliau mengesahkan tiada kluster dilaporkan pada gelombang ketiga pada masa ini.

“Dalam gelombang ketiga ini, tiada kluster disebabkan pengangkutan awam tetapi sewaktu gelombang kedua, saya masih ingat lagi Kluster Melbourne dalam pengangkutan kapal terbang.

“Kemungkinan jangkitan akan berlaku tetapi kita kena pastikan supaya patuh SOP yang ditetapkan apabila berada di tempat sesak dan sempit kerana jangkitan berlaku di tempat sesak serta sempit kalau kita tidak mengambil langkah pencegahan,” katanya.

Ujarnya lagi, langkah pencegahan tersebut penting bagi mengelakkan diri serta keluarga dijangkiti oleh virus tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI