PETALING JAYA – Hajat berkongsi berita gembira, tetapi ungkapan yang ‘dicipta’ pemilik Perodua Bezza, Nagakanni Subramaniam pula jadi sebutan ramai.
Ungkapan ‘kerana gula semut bersatu’ diungkapkan Nagakanni dalam satu hantaran terima kasih kepada semua pihak yang membantu dirinya menuntut hak apabila kereta Bezza miliknya rosak.
Ucapan berkenaan diluahkan Nagakanni apabila Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) akhirnya bersetuju untuk membeli semula kereta Bezza miliknya yang rosak dengan harga penuh.
“Tapi saya belajar sesuatu. Walaupun kita kecil seperti semut, kalau kita bersatu tanpa kira warna dan kaum, kita akan berjaya. Akhirnya, kerana gula, semut bersatu,” ujarnya.
Rata-rata orang ramai yang berkongsi pepatah yang ditulis Nagakanni sehingga menjadi sohor kini (trending) dalam kalangan pengguna media sosial.
“Akhirnya, kerana gula, semut bersatu! Penamat yang padu. Tahniah semut-semutan semua,” kata Shukur Yusuf.
“Sebelum ini ‘Kerana semut, gula binasa’, yang terkini, ‘Kerana gula, semut bersatu,” tulis seorang lagi pengguna.
Dalam masa sama, ada juga yang menyifatkan ia sebagai peribahasa alaf baharu.
“Peribahasa alaf baru ‘Kerana gula semut bersatu’,” kongsi Zainak Abidin Thani pada hantaran di Facebook miliknya. – KOSMO! ONLINE