KUALA LUMPUR – Seramai 15 individu ditahan kerana terbabit dalam penyeludupan haiwan liar, ubat-ubatan palsu serta penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang bernilai lebih RM21 juta sepanjang 1 hingga 5 Januari ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, operasi itu dilaksanakan Bahagian Jenayah Hidupan Liar Biro/Risikan Siasatan Khas (WCB/PSK) menerusi sembilan serbuan di Klang, Selangor; Seremban, Negeri Sembilan dan Wang Kelian, Perlis.
Katanya, sembilan serbuan itu membawa kepada nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM21,917,449.
“Antara kesalahan adalah melibatkan nilai rampasan RM116,000 di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, Akta Kawalan Bekalan 1961 (RM6,601,449) dan Seksyen 11 Akta Makanan 1983 (RM13.2 juta).
“Seterusnya, nilai rampasan RM1.5 juta di bawah Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) dan Peraturan 7(1)a Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952 (RM500,000),” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, WCB/PSK komited dan fokus melaksanakan visi dan misi seperti digariskan pasukan.
“Kita akan terus memacu langkah ke hadapan dengan melaksanakan operasi bersepadu bersama agensi-agensi penguatkuasaan lain bagi mengekang serta memerangi jenayah.
“Kerjasama daripada orang ramai dalam penyaluran maklumat amatlah digalakkan agar kegiatan jenayah dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE.