fbpx

Banjir terburuk, mangsa reda dengan ujian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Yunus dan isterinya, Saemah yang juga penduduk Taman Desa Jenderam Hilir membersihkan rumah mereka yang sebelum ini ditenggelami air akibat banjir ekoran hujan lebat sejak Sabtu lalu.

Oleh SITI A’ISYAH SUKAIMI

DENGKIL – “Banjir kali ini lebih buruk berbanding kejadian pada 2012 dan 2015,”

Itulah luahan salah seorang mangsa banjir, Asiah Taib, 39, yang terjejas akibat banjir ekoran hujan lebat sejak Sabtu lepas di beberapa kawasan di Dengkil.

Ibu kepada lapan orang anak yang tinggal di Kampung Seri Tanjung di sini berkata, air naik begitu cepat dan mengalir deras sehingga dia tidak sempat berbuat apa-apa.

“Kami sempat menyelamatkan barangan penting ke tempat tinggi namun ada juga yang rosak.

“Saya, suami dan anak mengangkat barangan ke tempat tinggi dan ada juga ditempatkan di dalam perabot tetapi disebabkan air semakin naik, perabot itu tumbang dan tenggelam ke dalam air. Beberapa buku sekolah anak juga basah terkena air,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Dengkil di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Mohd Yunus Marzuki, 63, yang juga penduduk Taman Desa berkata, air memasuki rumahnya setinggi paras pinggang dan menyifatkan banjir kali ini tidak seburuk tahun sebelumnya.

“Kami sekeluarga sempat mengangkat barang ke tingkat atas namun ada juga yang tidak sempat seperti almari.

“Sebenarnya kami sudah biasa berdepan dengan banjir kilat antaranya pada tahun 2003 dan ia adalah yang terburuk. Jadi kami sentiasa berjaga-jaga dan bersedia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Sepang, Azli Muhidin berkata, sehingga semalam, mangsa yang ditempatkan di Dewan Jenderam Hilir sudah mendaftar keluar dan pulang ke rumah masing-masing namun pusat pemindahan itu tidak ditutup.

Katanya, sebanyak lima pusat pemindahan disediakan iaitu di Dewan Orang Ramai Dengkil, Dewan SJKC Dengkil, Sekolah Rendah Agama Dengkil, Dewan Majlis Perbandaran (MP) Sepang Gemilang dan Dewan Jenderam Hilir.

“Kita perlu menambah pusat pemindahan ini memandangkan perlunya penjarakan sosial. Khemah yang dipasang juga boleh memuatkan empat hingga lima orang dan untuk keluarga ramai, kita menyediakan dua khemah,” katanya.

Berdasarkan maklumat yang dipaparkan di pusat pemindahan hari ini, seramai 260 mangsa ditempatkan di Dewan SJKC Dengkil, 129 mangsa di Sekolah Rendah Agama Dengkil dan 81 mangsa di Dewan Orang Ramai Dengkil.

Hujan lebat yang mengakibatkan banjir kilat di daerah ini pada Sabtu lepas menyebabkan beberapa kawasan terjejas seperti Taman Desa, Jenderam Hulu, Kampung Orang Asli Jenderam Hulu, Revolusi Hijau, Taman Lestari, Mewah Kampung Lalang, Kampung Cemperai, Sri Tanjong, Taman Mas, Taman Kristal, Taman Permata dan Taman Baiduri. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI