KUALA LUMPUR – Pelaksanaan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat umur yang lebih rendah masih dalam perbincangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia juga berikutan kapisiti TVET yang terbatas.
“TVET memang daripada laporan kabinet komuniti memang bersetuju untuk pelajar selepas tingkatan tiga. Untuk bermula dari umur yang lebih bawah lagi memang dalam diskusi atas komplikasi yang lain.
“Tetapi kalau mula selepas tingkatan tiga, permulaan satu atau dua tahun ini cukup memadai kerana kapasiti di TVET juga terbatas,” katanya pada Program Wacana Strategi Anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini.
Beliau mengulas pertanyaan salah seorang peserta mengenai TVET bagi pelajar sekolah rendah sebagai pendedahan lebih awal.
Selain itu, Anwar menjawab berkenaan cadangan supaya kerajaan memastikan kesesuaian jumlah individu berpendidikan tinggi dengan peluang pekerjaan.
“Saya minta sinergi antara pendidikan teknikal dan industri. ‘High end’ teknologi masih lagi kurang, maka universiti dalam bidang itu harus mengambil kira keperluannya.
“Mereka (industri) bangga dengan jurutera kita dari pelbagai universiti, namun untuk alternatif industri kita masih mempunyai kekurangan, maka untuk tahun ini 300 jurutera telah diberikan latihan tambahan.
“Tetapi untuk tahun berikutnya, kita perlu tahu keperluan dia. Ini akan memenuhi keperluan graduan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE