PETALING JAYA – Banjir diramalkan boleh berlaku jika hujan lebat berterusan selama beberapa hari terutama di negeri sering berlaku banjir di Pahang, Johor, Sarawak serta timur Sabah.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah, berkata, ia berikutan penumpuan angin timuran yang terjadi disebabkan topografi permukaan bumi atau terdapatnya kawasan bertekanan rendah yang menyebabkan peningkatan kelembapan.
“Jabatan kami meramalkan jika hujan berterusan berlaku selama beberapa hari, ia boleh menyebabkan berlakunya banjir.
“Sekiranya kawasan tersebut berpotensi berlaku banjir, agensi yang berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan mengambil tindakan selanjutnya seperti mengeluarkan amaran banjir.
“Oleh itu, orang awam disarankan untuk bersiap siaga dan mendapatkan maklumat cuaca terkini yang dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui pelbagai medium iaitu laman web rasmi jabatan, aplikasi mobil myCuaca serta media sosial rasmi MetMalaysia,” katanya kepada Kosmo!
Sementara itu, MetMalaysia mengemas kini amaran hujan berterusan yang melibatkan timur Pahang dan Johor berkuat kuasa sehingga 7 Januari nanti.
“Berdasarkan analisis model-model cuaca, penumpuan angin timuran diramal berlaku di Pahang, Johor dan timur Sabah sehinggga 9 Januari 2024.
“Sementara itu, di negeri-negeri lain pula, ribut petir beserta hujan lebat dan angin kencang berpotensi berlaku pada sebelah petang hingga ke malam,” katanya menerusi kenyataan.