KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya menjaga kesihatan.
Beliau berkata demikian apabila ditanya pemberita berhubung tindakan bekas Perdana Menteri tersebut yang menggelarnya ‘pakar gerakan pintu belakang’,
“Saya minta Tun (Mahathir) jaga kesihatan,” katanya sambil tersenyum selepas merasmikan Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mahathir menerusi media sosial mengungkit usaha Anwar menukar kerajaan pada 16 September 2008 serta Langkah Kajang bagi menukar Menteri Besar Selangor.
Ketika ini berlegar dakwaan berhubung usaha menjatuhkan kerajaan sedia ada melalui ‘Langkah Dubai’ yang dikecam hebat oleh pimpinan Kerajaan Perpaduan.
Dakwaan itu terlebih dahulu dibangkitkan Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Ismail Yusop baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE