TAMPIN – Seorang pekerja pembersihan dipenjara 14 hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memukul kakak iparnya pada Disember lalu.
Tertuduh, Muhammad Syahmi Mohd Bakri, 30, membuat itu di hadapan Majistret, Kartini Kasran. Majistret memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.
Muhammad Syahmi didakwa menumbuk dan memukul kakak iparnya yang berusia 39 tahun sehingga mengalami kecederaan di telinga, kepala, lebam pada mata kanan dan kaki serta pinggul.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di sebuah taman perumahan di sini, pada pukul 11.30 pagi, 24 Disember lalu.
Oleh itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Menurut fakta kes, kejadian berlaku di ruang tamu disebabkan masalah keluarga dan disaksikan oleh ibu kandung mangsa sendiri.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi memohon hukuman setimpal memandangkan mangsa mengalami kecederaan di seluruh badan.
Menurut peguam itu, tertuduh tidak boleh mendahului undang-undang dengan mengambil tindakan sendiri sehingga mencederakan mangsa.
“Isu keluarga adalah isu syariah. Tertuduh wajar menyerahkan (isu tersebut) kepada pihak berkuasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE