fbpx

5 individu tawar pinjaman tidak wujud didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lima ahli sindiket pinjaman wang tak wujud didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan penipuan dalam menawarkan pinjaman tidak wujud, November tahun lalu. Foto oleh MOHD SHAHJEHAN MAAMIN/KOSMO!

SEREMBAN – Lima individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan penipuan dengan menawarkan pinjaman tidak wujud pada November lalu.

Mereka adalah Lee Jia Re, 23, Jason Lee Lian Sheng, 25, Jass Lee Ying Xing,19, Amiratul Najihah Abdul Malik, 21, dan Kamarul Nazrin Kamarulzaman, 29.

Kelima-lima tertuduh mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan itu di hadapan Majistret, Nurul Saqinah Rosli.

Mereka didakwa menipu seorang lelaki dengan memperdaya mangsa untuk membuat pembayaran RM310 ke akaun bank milik seorang wanita bagi mendapatkan pinjaman wang secara dalam talian pada 18 November lalu di sebuah bank di Senawang di sini.

Oleh itu, kesemua tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebatan serta denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi, memohon tarikh sebutan semula kes bagi laporan forensik dan mencadangkan jaminan RM6,000 bagi setiap tertuduh.

Majistret membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes pada 6 Februari ini.

Difahamkan kesemua tertuduh ditangkap pada 20 Disember lalu dalam satu serbuan di Sendayan selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti penipuan. Semakan mendapati terdapat 12 laporan polis dibuat oleh mangsa berkaitan kes penipuan pinjaman tidak wujud. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI