fbpx

Northport catat rekod baharu kendalian kargo konvensional tahun 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kakitangan Northport meraikan kejayaan syarikat mencatat rekod baharu kendalian kargo konvensional pada 31 Disember lalu.

PETALING JAYA – Northport (Malaysia) Bhd (Northport), ahli Kumpulan MMC, telah mencatat rekod baharu kendalian kargo konvensional setelah mengendalikan 11,405,312 Freight Weight Tonnes (FWT) kargo konvensional pada tahun 2023. 

Prestasi pecah rekod ini mengatasi pencapaian sebelumnya, iaitu sebanyak 11,115,670 FWT yang dicatatkan pada tahun 2022. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azman Shah Mohd Yusof mengumumkan pencapaian pecah rekod baharu ini semasa acara sambutan Tahun Baru 2024 di Dermaga 8A, Northport pada 31 Disember 2023.

“Dengan berakhirnya 2023, segmen kargo konvensional menutup tirai tahun ini dengan kejayaan yang cukup membanggakan setelah mengatasi rekod yang dicatat pada tahun sebelumnya dengan peningkatan sebanyak 2.6 peratus,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Prestasi pecah rekod kargo konvensional Northport disumbangkan oleh peningkatan yang ketara dalam kendalian kargo pukal am, yang telah mencatat pertumbuhan sebanyak 9.5 peratus berbanding tahun sebelumnya serta peningkatan bagi segmen kargo pukal kering dan pukal. 

Dalam segmen Roll-on Roll-off (RoRo), syarikat juga menyaksikan peningkatan yang ketara dalam pengendalian kenderaan elektrik (EV) pada tahun 2023, berikutan polisi kerajaan mempromosikan kenderaan elektrik.

Kejayaan Northport di tahun 2023 hadir di sebalik penuh cabaran, disebabkan dunia mengalami pemulihan ekonomi yang perlahan dari negara-negara perdagangan utama serta ketidakpastian perdagangan global, terutamanya pada separuh pertama tahun lalu.

 Bagi operasi kargo konvensional pula, syarikat menghadapi cabaran tambahan dalam mengendalikan kargo semasa musim hujan terutamanya pada suku terakhir tahun lalu yang mana kebiasaannya, operasi kargo konvensional akan dihentikan semasa hujan. 

“Disebabkan cabaran-cabaran ini, prestasi pecah rekod pada tahun 2023 merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan.

“Northport juga mencatatkan kendalian bulanan bagi kargo konvensional tertinggi pada bulan Oktober dengan merekodkan 1,129,145 FWT, mengatasi rekod terbaik sebelum ini iaitu 1,078,538 FWT yang dicapai pada Mei 2022. 

“Kita mengalami kekangan dari segi keluasan tanah, namun kita telah mengatasinya melalui produktiviti yang tinggi dan penambahbaikan proses. 

“Kejayaan ini mempunyai makna istimewa buat Northport, terutamanya kerana ia dicapai semasa Northport menyambut ulang tahun ke-60 operasi pelabuhan di terminal Pelabuhan Utara pada 27 Disember 2023,” tambah beliau. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI