KUALA LANGAT – Seorang pekerja kuari maut manakala rakannya terselamat selepas tertimbus dalam tanah runtuh di kawasan kuari di Jalan SP 2, Bandar Saujana Putra di sini, petang tadi.
Pengarah Bomba Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail berkata, sembilan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Panglima Garang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 4.32 petang.
Katanya, pemeriksaan mendapati berlaku tanah runtuh sedalam lebih satu meter di kuari tersebut.
“Kejadian itu mengakibatkan dua mangsa berusia 30-an tertimbus dengan seorang daripadanya berjaya dikeluarkan orang awam dan dihantar ke Hospital Putrajaya.
“Anggota bomba yang melakukan pencarian kemudiannya berjaya membawa keluar seorang lagi mangsa kira-kira pukul 6.42 petang,” katanya hari ini.
Wan Md. Razali menjelaskan, mangsa kedua itu bagaimanapun dilaporkan meninggal dunia.-KOSMO!ONLINE