PETALING JAYA – Malaysia Building Society Berhad (MBSB) mengumumkan penggunaan logo baharunya berkuat kuasa hari ini.
Logo baharu MBSB merangkumi abjad ‘M’ mewakili perkataan ‘Malaysia’, yang juga perkataan pertama pada nama syarikat, diikuti dengan singkatan MBSB.
Geometri bentuk logo yang melambangkan DNA organisasi kini yang lebih tajam dan moden menandakan komitmen Kumpulan terhadap pertumbuhan, niat strategik, inovasi dan perubahan dalam pasaran yang dinamik.
Menurutnya dalam satu kenyataan, MBSB telah berada di barisan hadapan dalam industri perkhidmatan kewangan dan pembangunan ekonomi negara selama lebih daripada 70 tahun.
“Logo baharu menggantikan logo sebelumnya yang menggambarkan sebuah rumah, mencerminkan peranan MBSB sebagai salah satu institusi kewangan pertama di rantau ini untuk menawarkan pinjaman perumahan kepada masyarakat,” ujarnya.
MBSB memiliki sepenuhnya MBSB Bank Berhad (MBSB Bank), sebuah bank perdagangan Islam dan baru-baru ini telah mengambil alih Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), sebuah kumpulan perbankan pelaburan.
Kumpulan MBSB adalah pemain utama dalam perbankan Islam, dengan pelbagai tawaran daripada perbankan pengguna, perbankan komersial & perusahaan kecil dan sederhana hingga kepada perniagaan perbankan korporat dan pelaburan. -KOSMO! ONLINE