GENEVA – Tentera Israel menculik dan memindahkan kanak-kanak Palestin keluar dari Semenanjung Gaza, kata sebuah pertubuhan pemerhati hak asasi manusia yang meminta mereka dikembalikan kepada ibu bapa masing-masing, lapor laman berita TRT World kelmarin.
Pemerhati Hak Asasi Manusia Euro-Med berpangkalan di Geneva menyatakan Selasa lalu bahawa pihaknya ‘memandang serius maklumat yang diterbitkan oleh Radio Tentera Israel pada 1 Januari 2024 mengenai seorang bayi Palestin diculik dari rumah keluarganya di Gaza oleh pegawai tentera Israel, Harel Itach selepas ahli keluarga mangsa dibunuh.’
“Susulan berita Itach telah meninggal dunia pada 22 Disember 2023 akibat kecederaan semasa pertempuran di Gaza, seorang rakannya mendedahkan tentang penculikan itu dan mengatakan bahawa keberadaan bayi berkenaan masih tidak diketahui,” kata Euro-Med.
Sambil menyuarakan ‘ketakutan dan kebimbangan yang mendalam,’ katanya, kes bayi Palestin itu bukanlah insiden terpencil.
Banyak keterangan yang diterima kumpulan hak asasi manusia berkenaan memaklumkan, tentera Israel kerap menahan dan memindahkan kanak-kanak Palestin tanpa mendedahkan lokasi mereka.
Memetik ‘jenayah penculikan kanak-kanak yang mengerikan’ serta ‘kehilangan misteri ratusan tahanan Palestin dari Gaza’, Euro-Med menekankan bahawa masyarakat antarabangsa wajib memikul tanggungjawab dan mengenakan tekanan ke atas Israel untuk memastikan kepulangan selamat semua mangsa.
Menurutnya, kebanyakan laporan tentang kehilangan kanak-kanak datang dari kawasan di mana pencerobohan darat Israel berlaku.
“Lebih 7,000 rakyat Palestin dengan kebanyakan mereka wanita dan kanak-kanak, dilaporkan hilang di tengah-tengah huru-hara yang disebabkan oleh kesukaran mengeluarkan mayat dari bawah runtuhan, sekatan komunikasi dan internet di kebanyakan kawasan di Semenanjung Gaza dan pemindahan secara paksa penduduk Palestin,” tambah Euro-Med.
Walaupun kebanyakan kes orang hilang mungkin mangsa yang terkorban di bawah runtuhan rumah dan bangunan akibat dibom tentera udara Israel, sebilangan kes turut berlaku di kejiranan di mana Rejim Zionis melancarkan pencerobohan darat.
Berkongsi keterangan Rushdi al Zhaza yang baru dibebaskan Israel selepas ditahan bersama keluarganya sebulan lalu dari rumah mereka di selatan Bandar Gaza, kumpulan hak asasi manusia itu berkata, nasib isteri dan dua anaknya masih tidak diketahui.
“Al Zhaza berkata bahawa tentera Israel menahan dia, isterinya, Hadeel Youssef al Dahdouh dan dua anak mereka iaitu Mohamed dan Zein yang masing-masing berumur empat tahun dan enam bulan dari rumah mereka. Beberapa minggu kemudian, tentera Israel membebaskan Al Zhaza tanpa mendedahkan keberadaan atau status kesihatan isterinya dan salah seorang anak mereka,” katanya.
Berkongsi keterangan saksi lain, Euro-Med berkata, beberapa minggu lalu tentera Israel menahan seorang budak perempuan berambut perang. Insiden berlaku semasa penduduk Gaza dipindahkan dari Bandar Gaza menuju Hutan Simpan Wadi di selatan wilayah berkenaan.
Kata saksi, ibu bapa gadis itu cuba campur tangan. Tentera Israel kemudian memaklumkan kepada mereka bahawa kanak-kanak itu ditahan kerana disyaki dia ialah tebusan warga Israel, walaupun pada hakikatnya, dia bercakap dalam bahasa Arab dan ditemani oleh ibu bapanya.
“Saksi terpaksa terus berjalan dan berkata bahwa dia tidak tahu apa yang berlaku kepada kanak-kanak itu atau ibu bapanya,” kata Euro-Med.
Tambah pertubuhan tersebut, ramai keluarga yang kehilangan tempat tinggal dari utara Gaza atau kawasan pencerobohan Khan Younis telah melaporkan kehilangan anak mereka semasa perpindahan dan serangan udara Rejim Zionis.
Justeru, Euro-Med menggesa tindakan segera dilakukan untuk menamatkan penahanan sewenang-wenang dan kehilangan paksa beratus-ratus tahanan Palestin dari Gaza.
Euro-Med memberi peringatan bahawa negara-negara dunia dikehendaki menganggap kehilangan secara paksa penduduk awam sebagai jenayah perang, manakala pelaku boleh dihukum berdasarkan undang-undang antarabangsa. – AGENSI