fbpx

Freddie mahu jumpa PM jika Sheila Majid berdegil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FREDDIE (dua dari kanan) pada sidang akhbar berkenaan isu mendesak Datuk Sheila Majid melepaskan jawatan Pengerusi RPM yang diadakan di Petaling Jaya, Selangor sebentar tadi. Turut hadir, komposer Ito Blues Gang (kiri) dan penyanyi Datuk Khatijah Ibrahim (dua dari kiri).

PETALING JAYA – Datuk Freddie Fernandez selaku Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) tidak akan teragak-agak untuk bertemu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seandainya Datuk Sheila Majid berkeras tidak mahu melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Recording Performers Malaysia (RPM).

Menurut Freddie, seramai 114 orang ahli RPM telah menandatangani petisyen mendesak Sheila melepaskan jawatannya kerana kegagalannya menguruskan badan perlesenan kutipan royalti penggiat muzik tanah air tersebut.

“Saya sudah lawan perkara ini selama 20 tahun. Ini merupakan kali terakhir saya akan cuba berusaha untuk menyelesaikannya. Kalau saya gagal, saya akan lompat dalam laut.

“Jika Sheila masih tidak mahu undur diri, saya akan jumpa Perdana Menteri untuk selesaikan masalah ini,” katanya dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Petaling Jaya, Selangor sebentar tadi.

Menurut Freddie lagi, segala permasalahan yang timbul mengenai pengagihan royalti tidak akan selesai selagi pelantun lagu Sinaran itu tidak meletakkan jawatan.

“Saya sudah 50 kali suruh Sheila letak jawatan. Sudah tiba masanya. Jangan rosakkan industri kita. Di luar sana ramai orang sedang susah.

“Baik Sheila atau semua ahli lembaga pengarah, get out!,” getusnya.

Hadir sama pada sidang media terbabit, penyanyi Datuk Khatijah Ibrahim, komposer Mohamad Rafi Shafie dan Ito Blues Gang.

Dedah Freddie, seramai 67 ahli badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (PRISM) yang sudah dibubar memberi mandat kepadanya untuk menguruskan hak mereka.

Sheila sudah memegang jawatan sebagai pengerusi RPM selama tujuh tahun.

Terdahulu, isu pengagihan royalti mencetuskan polemik industri apabila Suranjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berhubung isu dana kutipan royalti. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI