PETALING JAYA – Jabatan Meterologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk dan waspada di dua buah negeri sehingga Ahad ini.
Menurut kenyataan MetMalaysia di laman Facebook, hujan lebat berterusan tahap buruk diramal berlaku di Johor melibatkan kawasan Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
“Dalam tempoh amaran ini berkuat kuasa, orang awam di kawasan yang terlibat diminta untuk lebih berhati-hati kerana pada ketika ini bacaan hujan tertinggi sudah mencapai 100 milimeter (ml) terutamanya melibatkan daerah Kota Tinggi.
“Selain itu, hujan berterusan peringkat waspada juga diramal di berlaku sekali lagi di Johor tetapi melibatkan kawasan Batu Pahat dan juga Pontian.
“Ia juga membabitkan daerah Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang sehingga 7 Januari nanti,” katanya.
Dalam pada itu, MetMalaysia turut mengeluarkan laporan imej gema radar semasa menunjukkan keadaan hujan masih berlaku di semua daerah di Johor dan daerah Rompin di Pahang.
Bagi Sabah dan Sarawak pula, keadaan hujan pada ketika ini hanya berlaku di sekitar bahagian barat Sarawak dan ia juga kelihatan beransur reda.
“Walaubagaimanapun, MetMalaysia masih lagi meramalkan hujan lebat dan ribut petir berpotensi berlaku melibatkan hampir seluruh daerah di Sabah dan Sarawak petang nanti,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE