fbpx

Seorang lagi suspek samun dan bunuh diburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saiful Azly.

KUALA LUMPUR – Polis kini memburu seorang lagi suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian samun dan bunuh bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Wan Hassan Wan Embong di Jalan Mambu, Bukit Bandaraya di sini semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, setakat ini seramai 10 individu warga tempatan telah berjaya ditahan dalam serbuan yang dilakukan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

“Serbuan dilakukan kira-kira pukul 11.24 malam tadi di sebuah kondominium di Jalan Sultan Ismail susulan hasil risikan yang dilakukan dan menerusi operasi berkenaan kita telah berjaya menahan seramai 10 individu.

“Kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 20 hingga 29 tahun dan hasil soal siasat mendapati salah seorang daripada mereka telah mengaku terlibat dalam kejadian samun tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menurut Saiful Azly, penahanan yang dibuat adalah susulan daripada kejadian samun kedua yang dilakukan suspek di sebuah banglo milik seorang jurutera di Taman Tiara Titiwangsa di mana salah seorang daripada mereka telah membuang dompet milik mangsa yang mati selepas disergah oleh orang awam ketika cuba melarikan diri.

“Penemuan dompet tersebut telah mengaitkan suspek dengan kedua-dua kejadian dan suspek yang terlibat turut berjaya dikenal pasti susulan lakaran fotofit dan pengecaman wajah yang dibuat oleh kesemua mangsa memandangkan suspek tidak memakai topeng ketika melakukan jenayah itu.

“Semakan mendapati lapan daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah serta narkotik dan pihak polis kini sedang memburu seorang lagi suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya.

Jelas Saiful Azly, kesemua yang ditahan kini direman tujuh hari sehingga 6 Disember bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI