LONDON – Seorang pengumpul peralatan ketenteraan menyuarakan rasa kesal kerana memulangkan jongkong emas bernilai £2 juta (RM11.7 juta) yang ditemui di dalam sebuah kereta kebal yang dibelinya, lapor akhbar Daily Star semalam.
Nick Mead berkata, dia tidak menerima sebarang bayaran sebaliknya, jongkong emas itu hanya disimpan di dalam peti keselamatan deposit di London.
Mead menemui barang berharga itu pada 2017 apabila dia membeli kereta kebal Type 69 yang pernah digunakan oleh tentera Iraq daripada laman e-dagang, eBay.
“Saya amat menyesal kerana menyerahkannya (jongkong emas). Saya sepatutnya meminta sedikit bayaran kerana menemuinya, namun sesen pun tidak dibayar,” katanya.
Menurut Mead, dua pegawai Polis Northamptonshire mengambil jongkong emas itu untuk melakukan siasatan dan hanya memberikan sekeping resit kepadanya.
Kata lelaki itu, dia tidak tahu keadaan terkini barangan tersebut, namun menganggap polis masih cuba menjejaki pemiliknya.
Mead membeli kereta kebal itu untuk menambah koleksi 300 kenderaan tenteranya yang digelar Tanks-a-Lot di ladangnya di Helmdon, Northamptonshire. – AGENSI