SEBERANG PERAI – Empat lelaki cedera pada kepala dan kaki akibat tersepit dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan van di Kilometer (KM) 157.9, Lebuh Raya Utara-Selatan, berhampiran Sungai Bakap menghala ke Utara di sini, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, mangsa yang cedera dipercayai terdiri daripada pemandu serta penumpang bagi kedua-dua kenderaan itu yang masing-masing berusia antara 28 hingga 60 tahun.
Menurutnya,terdahulu pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 12.10 tengah hari dengan melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap dan BBP Nibong Tebal.
“Berlaku pelanggaran membabitkan van jenis Toyota Hiace dan lori jenis Hino sebelum kedua-dua kenderaan itu merempuh sebatang pokok di tepi lebuh raya berkenaan.
“Terdapat empat orang mangsa dalam keadaan tersepit di dalam kedua-dua kenderaan itu. Mangsa pertama dibawa keluar pada pukul 12.45 tengah hari, mangsa kedua pukul 1.10 tengah hari manakala mangsa ketiga dan keempat berjaya dikeluarkan pada pukul 1.51 tengah hari tadi.
“Kesemua mangsa mengalami kecederaan pada kepala dan kaki dan telah dibawa ke Hospital Sungai Bakap dengan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) dan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya di sini, sebentar tadi.
Beritahu jurucakap itu lagi, pihaknya menyerahkan kes kemalangan tersebut kepada pihak polis untuk siasatan lanjut termasuk punca sebenar kejadian berlaku,” katanya operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada pukul 2.17 petang tadi. – KOSMO! ONLINE