fbpx

Jelajah benua Antartika, titik paling selatan dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penulis bergambar bersama bendera Antartika berlatarbelakangkan sekumpulan penguin.

SETELAH penulis berjaya menjejaki benua keenam iaitu benua Afrika, penulis menyimpan hasrat untuk menjelajah ke benua Antartika pula.

Penulis ingin melihat dengan kaca mata sendiri benua yang paling terpencil ini. Semestinya ia merupakan pengalaman sekali seumur hidup.

Penulis bertolak dari Kuala Lumpur menempuh perjalanan selama 29 jam melalui Dubai, Emiriyah Arab Bersatu dan Rio de Janeiro, Brazil sebelum akhirnya tiba di Buenos Aires, Argentina.

Keesokannya pula, penulis menaiki kapal terbang ke Ushuaia, Argentina. Perjalanan memakan masa lebih tiga jam sebelum tiba di titik paling selatan di dunia ini.

Untuk makluman, 90 peratus pelawat ke Antartika bertolak dari Ushuaia memandangkan jaraknya melalui laut adalah paling dekat berbanding dari benua Afrika atau Australia.

Ia mengambil masa dua hari perjalanan dari Pelabuhan Ushuaia, merentasi Drake Passage sebelum tiba di benua Antartika.

Ombak di Drake Passage terkenal sebagai ombak yang paling ganas di dunia dengan ketinggian ombak yang boleh mencecah sehingga 13 meter.

Hal ini kerana Drake Passage merupakan titik pertemuan tiga laut iaitu Lautan Atlantik, Lautan Pasifik dan Lautan Selatan.

Penulis berpeluang merasakan ‘Drake Lake’ semasa perjalanan pergi dan ‘Drake Shake’ semasa perjalanan pulang dari Antartika.

Ombak semasa perjalanan kami pulang mencecah sehingga hampir tujuh meter.

Tempat pertama yang kami lawati setibanya di benua Antartika adalah Elephant Island.

Memang mengujakan dapat melihat daratan, setelah dua hari hanya melihat ombak yang mengganas di luar kapal.

Suasana dingin menyelubungi benua yang tidak dihuni manusia secara tetap itu.

Di Antartika, kami semua berpeluang melakukan dua jenis aktiviti di luar kapal iaitu pendaratan (landing) dan juga pelayaran (cruising) menggunakan bot ekspedisi kecil bernama Zodiac.

Hanya 100 orang dibenarkan mendarat di benua Antartika pada satu-satu masa.

Oleh itu, ekspedisi kami mengamalkan konsep giliran di mana separuh peserta akan membuat aktiviti pendaratan, manakala separuh lagi akan menunggu di atas kapal.

Antara aktiviti lain yang dilakukan oleh beberapa penumpang lain adalah berkhemah semalaman di luar kapal dan juga berkayak.

Penulis tidak berpeluang untuk melakukan kedua-dua aktiviti tersebut, memandangkan slotnya sangat terhad.

Selain Elephant Island yang terletak di dalam gugusan kepulauan South Shetland, penulis juga berpeluang melawat Danger Island, Paulet Island, Devil Island, Vega Island dan Deception Island yang terletak di semenanjung Antartika.

Disebabkan tiada populasi asli yang menetap di kepulauan Antartika, jumlah hidupan liar yang kami dapat lihat di sini sangat menakjubkan.

Kami berpeluang melihat empat jenis penguin dari jarak dekat (spesies Gentoo, Adelie, Chinstrap dan Macaroni), empat jenis paus (Orca, Humpback, Fin dan Sperm), beberapa jenis anjing laut (Elephant dan Weddell) dan bermacam jenis burung.

Bukan sahaja hidupan liarnya menakjubkan, pemandangan sekeliling dengan lautan biru yang memukau dan aisberg sebesar gunung memang tidak akan penulis lupakan.

Kami juga berpeluang melihat aisberg A23a iaitu aisberg terbesar di dunia dengan ketinggian melebihi 30 meter di permukaan dan lebih 200 meter di dasar laut.

Secara kesimpulan, penulis tidak akan melupakan betapa indahnya pengalaman melawat benua paling terpencil ini.

Meskipun dibuka untuk tujuan pelancongan komersial, keindahan benua ini masih dapat dikekalkan dengan kawalan ketat IAATO iaitu International Association of Antarctica Tour Operators.

Penulis berharap tulisan ini akan menjadi inspirasi kepada pengembara yang lain untuk melawat benua Antartika ini satu hari nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI