fbpx

Peti sejuk antara punca banjir kilat di Ipoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rumaizi semasa mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulanan November 2020 MBI di Ipoh hari ini.

IPOH – Banjir kilat yang berlaku di kawasan sekitar Sungai Pari dan Manjoi di sini setelah hujan lebat baru-baru ini antaranya berpunca daripada tindakan segelintir penduduk yang tidak bertanggungjawab membuang sampah sehingga menyebabkan sistem perparitan terhalang.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, banjir kilat akan menjadi masalah yang berterusan selagi langkah pencegahan tidak diambil termasuk melakukan pembuangan sampah dengan cara yang betul.

Menurut beliau, operasi pembersihan yang dilakukan oleh petugas Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi membantu pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) misalnya turut menemui peti sejuk yang dibuang di dasar Sungai Pari.

“Apabila banyak sangat sampah-sampah berada di dalam dasar sungai ia menyebabkan sungai itu tidak mampu menampung kuantiti air seperti mana sepatutnya.

“Keadan ini menyebabkan air melimpah. Begitu juga di beberapa kawasan yang disebabkan sampah-sarap di dalam parit disebabkan sikap mereka yang tidak cakna dalam soal kebersihan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulanan November 2020 MBI di sini hari ini.

Mengulas isu sama, katanya ketika ini kajian lanjut sedang dilakukan MBI bersama syarikat perunding untuk melengkapkan data-data berhubung kawasan yang terjejas sebelum langkah seterusnya diambil.

Jelas Rumaizi lagi, bagi penyelesaian jangka pendek MBI dalam proses melantik perunding bertauliah bagi melaksanakan kajian tebatan banjir di Kawasan Industri Bercham, Kampung Sungai Rokam dan RPT Sri Klebang/Desa Sri Chepor dengan anggaran keluasan 10.2 kilometer persegi.

“Kita juga telah mengenalpasti lokasi-lokasi yang sering dan berpotensi mengalami banjir kilat. MBI merangka untuk menaiktaraf dan menjalankan penambahbaikan kepada sistem perparitan sedia ada.

“Perlaksanaan kerja-kerja tersebut dijangka akan dibuat secara berperingkat-peringkat bermula awal tahun depan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI