KLANG – Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV1) mampu bertindak sebagai ‘Mothership’ (kapal induk) dalam memperkuatkan kesiapsiagaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam menjaga perairan negara.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ruji Ubi berkata, OPV1 yang dibina menggunakan rekabentuk Damen 1800 berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter tersebut berkeupayaan melakukan operasi di laut dalam jangka waktu 21 hari tanpa ulang bekal.
Katanya, reka bentuk kapal ini bakal menjadikan OPV1 berkemampuan menghadapi laut bergelora sehingga tahap Force 7.
“OPV1 ini juga didatangkan bersama Radar X dan S Band bagi memastikan rondaan mampu bergerak secara meluas selain boleh menempatkan 70 orang anak kapal dalam satu-satu masa operasi.
“Ia juga mampu melaksanakan tugas-tugas seperti bantuan kemanusian dan bencana selain bertindak sebagai kapal logistik, kapal Mothership, kapal pemerintah serta menjadi tempat penyimpanan peralatan pencemaran minyak,” katanya malam tadi.
Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis penyerahan rasmi OPV1 antara TH Heavy Engineering Berhad (THHE) kepada KDN.
OPV1 mampu mecapai kelajuan 21 knot serta mempunyai fasiliti seperti tapak pendaratan helikopter dan bilik tahanan, malah turut dilengkapi dengan peralatan canggih seperti Unmanned Aerial Vehicle (UAV), Meriam 30mm Smash Aselsan, dua buah bot jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) serta Fast Interceptor Craft.
Sebelum diserahkan kepada KDN, OPV1 telah melalui beberapa fasa percubaan termasuk fasa ujian di laut yang dilakukan di Selat Melaka bersama aset-aset APMM yang terlibat dalam Eksesais Maritim Perkasa Barat pada 28 November lalu.
Mengulas lanjut, Ruji menegaskan, penyerahan OPV1 ini adalah satu lagi detik bersejarah kepada kementerian ini khususnya Kerajaan MADANI.
“Ini kerana telah berjaya memastikan kapal peronda buatan tempatan ini siap dibina setelah beberapa kali berlaku penangguhan akibat ancaman Covid-19 selain proses membawa masuk peralatan teknikal terkini kapal yang diimport dari negara luar.
“Justeru, diharapkan OPV1 mampu APMM memperkasakan lagi pengoperasian agensi ini dalam menguatkuasakan undang-undang maritim seterusnya memastikan Zon Maritim Malaysia (ZMM) berada dalam keadaan selamat dan sejahtera,” katanya. – KOSMO! ONLINE