TOKYO – Sebuah pesawat yang membawa lebih 300 penumpang terbakar di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo hari ini selepas berlanggar dengan sebuah pesawat Pengawal Pantai.
Portal berita MailOnline melaporkan, rakaman video menunjukkan pesawat Japan Airlines terbakar ketika ia berada di landasan dengan api marak dilihat keluar dari tingkap penumpang.
Pesawat itu bertembung dengan sebuah pesawat Pengawal Pantai ketika ia melalui landasan, lapor stesen penyiaran TV Japan, dengan perlanggaran itu menyebabkan pesawat terbakar.
“Ia terbakar di hadapan saya,” kata seorang saksi menerusi hantaran di platform X.
Beberapa pasukan bomba dikerahkan ke lokasi kejadian dengan rakaman dari stesen penyiar Jepun, NHK menunjukkan anggota bomba bertungkus-lumus cuba memadamkan api. – AGENSI