PETALING JAYA – OCBC Al-Amin Bank Berhad (OCBC Al-Amin), anak syarikat perbankan Islam OCBC Bank (Malaysia) Berhad (OCBC), telah melanjutkan kemudahan pembiayaan bertempoh hijau Islam bernilai AS$175 juta (RM803.25 juta) kepada RHB Islamic Bank Berhad (RHB Islamic).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OCBC Al-Amin, Tuan Syed Abdull Aziz Syed Kechik berkata, kemudahan ini menjadikan OCBC Al-Amin Bank yang pertama menawarkan pembiayaan bertempoh mata wang asing hijau Islam, daripada bank kepada bank.
Ia juga adalah kemudahan yang pertama untuk menyediakan pembiayaan bertempoh Islam menggunakan pendekatan ‘penggunaan hasil’ dalam kalangan institusi kewangan di Malaysia.
RHB Islamic akan menggunakan kemudahan pembiayaan hijau Islam itu untuk menyediakan penyelesaian pembiayaan ESG serba lengkap kepada pelanggannya, sejajar dengan rangka kerja aset lestari Kumpulan Perbankan RHB.
“Kemudahan pembiayaan bertempoh yang diberikan kepada RHB Islamic adalah
kemudahan penting dalam perjalanan negara dan juga OCBC Bank ke arah mencapai agenda kelestarian dan menjadi perantara berasaskan nilai dalam industri perbankan Islam, sejajar dengan Rangka Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026 yang disusun oleh Bank Negara Malaysia.
“Kami sukacita untuk bekerjasama dengan RHB Islamic dalam kemudahan pembiayaan hijau ini yang merupakan penyelesaian kewangan patuh syariah penting bagi negara ini.
“Kami akan terus mengukuhkan usaha pembiayaan hijau kami, menerusi kerjasama erat dengan rakan-rakan industri untuk mencapai penghasilan karbon bersih sifar di Malaysia menjelang 2050,” katanya.
Kemudahan pembiayaan bertempoh hijau Islam adalah pembiayaan yang mematuhi keperluan syariah dan menggalakkan pembiayaan hijau daripada bank kepada bank yang menggunakan kaedah hasil penggunaan untuk menumpukan hasil pembiayaan terus kepada segmen ekonomi bersasar dengan cara yang bertanggungjawab dari segi alam sekitar dan sosial.
Pembiayaan bertempoh ini diterapkan dalam perjanjian swap rentas mata wang, yang mana ia menyediakan mekanisme lindung nilai patuh syariah yang melindungi nilai pembiayaan daripada turun naik pasaran mata wang. -KOSMO! ONLINE