fbpx

Platform cungkil bakat robotik anak Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Para pemenang bergambar bersama hadiah kemenangan masing-masing pada pertandingan WRC 2023 yang berlangsung di Taman Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.

DALAM usaha memupuk minat dan mengasah bakat generasi muda dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan World of Robotics Sdn. Bhd. kembali menganjurkan Pertandingan World of Robotics Championship (WRC) 2023 baru-baru ini.

Program anjuran bersama Asia Pacific University of Technology kembali buat tahun kelima selepas ditunda pada tahun 2020 sehingga 2022 susulan pandemik Covid-19.

Menurut Pengarah Urusan World of Robotics Sdn. Bhd., Lee Yew Kein, kejohanan WRC ini telah menjadi acara tahunan yang merupakan satu platform penting bagi para pelajar dari seluruh Malaysia untuk mengaplikasikan kemahiran dan bakat mereka dalam dunia robotik yang dinamik.

“Pertandingan bukan sahaja bertujuan menyokong pembangunan minat dalam STEM tetapi juga untuk memupuk daya pemikiran inovasi dan penyelesaian masalah dalam minda pelajar untuk masa depan.

“Sejak tahun 2016, kita telah memberi peluang kepada anak-anak muda tanah air untuk menunjukkan bakat masing-masing di samping menekankan kepentingan memupuk minat pelajar dalam bidang STEM,” katanya menerusi satu kenyataan baru-baru ini.

Tambahnya, tahun ini, pertandingan WRC 2023 yang diadakan di Kuala Lumpur itu mempertandingkan enam kategori. Setiap kategori direka untuk menguji kebolehan peserta dalam pelbagai aspek robotik.

Kategori-kategori ialah Rookie A, Rookie B, Modular A, Modular B, Modular C dan Soccerbot yang menguji kemahiran dan kreativiti peserta.

Kepelbagaian kategori adalah untuk memastikan perbezaan tahap kepakaran dan pengalaman peserta dilibatkan dalam persaingan yang sihat.

“Pertandingan tahun ini memperlihat penyertaan seramai 220 pelajar dari lingkungan umur 7 hingga 19 tahun.

“Peserta-peserta ini mewakili 50 buah sekolah dan kolej vokasional dari seluruh negara. Minat yang mendalam dan dedikasi yang ditunjukkan anak-anak muda tersebut menekankan kepentingan pertandingan seperti ini dalam memupuk budaya pembelajaran, kerjasama dan kecemerlangan,” ujarnya.

Katanya lagi, pemenang kategori Soccerbot akan mewakili Malaysia dalam pertandingan antarabangsa yang dijadualkan berlangsung di Beijing pada 2024.

“Mereka akan bawa harapan kami semua untuk mengharumkan nama negara di persada antarabangsa,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Seni KPM, Zainuren Mohd Nor memberitahu, pihaknya juga komited untuk memperkasa pendidikan STEM sebagai salah satu tunjang utama dalam pembangunan negara.

“Pertandingan WRC 2023 ini bukan sekadar pertandingan robotik, ia adalah platform inovasi, bukti potensi anak-anak Malaysia dan satu langkah menuju masa depan di mana teknologi dimanfaatkan untuk menyelesaikan cabaran-cabaran di hari esok,” katanya.

Pada pertandingan itu, wakil dari Asia Pacific Centre Of Robotics Engineering, Asia Pacific University (APCORE APU), Thasne Rames dan Low Yinn Ean menjuarai kategori Soccerbot, manakala wakil Sekolah Kebangsaan (SK) Seafield, Subang Jaya, Selangor menjuarai kategori Modular A dan Modular B.

Bagi Modular C pula dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Impian, Kajang, Selangor.

Wakil SK Bandar Utama Damansara 4, memenangi kategori Rookie A, manakala Rookie B pula dijuarai oleh wakil gabungan dari SK Taman Desa dan Beacon House Sri Murni.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI