JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan melantik, mengurniakan dan menggelar suri Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor sebagai Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Bustamam.
Gelaran baharu itu ke atas isteri Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail itu diumumkan menerusi Jumaah Majlis DiRaja yang berkuatkuasa 31 Disember lalu.
“Jumaah Majlis DiRaja mengumumkan iaitu Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Di Pertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim dengan kuasa hak dan keistimewaan Baginda dibawah Fasal 23 Bahagian Pertama, dan Fasal 7(2)(e) Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
“Dan dengan persekutuan Jumaah Majlis DiRaja telah suka dan berkenan pada 31 Disember 2023 melantik, mengurniakan dan menggelar suri Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor sebagai Yang Amat Mulia Che Puan Mahkota Khaleeda binti Bustamam atau versi Inggeris, ‘Her Highness Che’ Puan Mahkota Khaleeda Binti Bustamam’,”titah Baginda dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook rasmi hari ini.
Terdahulu, pada 23 Mac 2021, Che’ Puan Mahkota Khaleeda menerima gelaran Che’ Puan Besar daripada Sultan Ibrahim.
Che’ Puan Mahkota Khaleeda dilahirkan di Kuala Lumpur pada 16 Julai 1993 selamat diijab kabul dengan Tunku Ismail di Istana Bukit Serene pada 24 Okt 2014.
Pasangan diraja itu kini dikurniakan empat cahaya mata iaitu dua puteri dan dua putera iaitu Tunku Khalsom Aminah Sofiah, Raja Muda Johor, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim, Tunku Abu Bakar Ibrahim dan Tunku Zahrah Zarith Aziyah.-KOSMO! ONLINE