fbpx

Baiki Jalan Gua Musang-Kuala Krai makan modal RM3.75 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan jalan raya di Jalan Gua Musang-Kuala Krai yang memerlukan kos tambahan untuk dibaiki. – AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan memerlukan peruntukan tambahan sebanyak RM3.75 juta bagi membaiki empat lokasi kritikal yang mengalami kerosakan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai (FT08).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, peruntukan tersebut adalah bagi menampung kos penyelenggaraan empat lokasi jalan di laluan ber­kenaan yang tidak mencukupi.

Menurut beliau, pihak JKR Kelantan sudah memohon dan mengharapkan peruntukan tersebut dapat diluluskan pada tahun ini.

“Dalam sesi taklimat semalam (kelmarin), saya difahamkan JKR masih memerlukan peruntukan sebanyak RM3.75 juta bagi membaiki kerosakan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai (FT08).

“Kerosakan itu melibatkan jalan di daerah ini. Jadi saya akan memberikan komitmen untuk bersama-sama dengan JKR bagi memohon pertimbangan Perdana Menteri, Timbalan Perdana

Menteri atau Menteri Kerja Raya untuk meluluskan permohonan ini memandangkan ia merupakan keperluan mendesak rak­yat terutama di Gua Musang,” katanya.

Terdahulu, beliau mendengar taklimat daripada Unit Projek Khas ECER 1, JKR dan Roadcare (M) Sdn. Bhd. yang dipengerusikan oleh Pe­ngarah JKR Kelantan, Ir. Mohd. Suhaili Ismail di sini kelmarin.

Mengulas lanjut, Mohd. Syahbuddin memberitahu, beliau akan bertemu dengan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan bagi membincangkan mengenai isu tersebut.

“Saya akan berjumpa dengan beliau (Ahmad) untuk membawa isu ini selepas mendapat tarikh dan kertas laporan daripada JKR Kelantan dalam masa terdekat.

“Ini merupakan antara usaha saya dalam menjaga kebajikan pengguna jalan raya dan rakyat di Gua Musang khususnya di dalam kawasan Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Galas,” katanya.

Kosmo! pada 1 Januari lalu melaporkan pengguna di laluan Jalan Gua Musang-Kuala Krai berdepan risiko kemalangan dan kerosakan kenderaan terutama pada musim hujan apabila permukaan jalan raya berlubang dan pecah.

Tinjauan mendapati di sepanjang laluan lebih 80 kilometer bermula dari bandar Gua Musang hingga ke sempadan daerah Kuala Krai-Gua Musang itu, terdapat lebih 100 kerosakan termasuk jalan lubang.

Keadaan itu berisiko tinggi menyebabkan tayar kenderaan mudah pecah dan berlaku kemalangan di kawasan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI