KUALA SELANGOR – Hujan lebat yang melanda semalam mengakibatkan jumlah mangsa banjir di daerah ini meningkat kepada 96 orang daripada 54 individu setakat pukul 12 tengah hari tadi.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Selangor, Kapten (PA) Shaiful Azril Zainal berkata, mereka merupakan penduduk di Jalan Rezab Derahman, Jalan Tahir Manan, Jalan Parit Omar, Jalan Rizab Zazuli dan Jalan Cenderawasih.
Katanya, kesemua mangsa kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Maharaja Lela.
“Mangsa banjir terdiri daripada 27 buah keluarga itu melibatkan 54 dewasa, kanak-kanak (30) warga emas dan bayi (lima) serta Orang Kelainan Upaya (dua).
“Pemantauan pihaknya mendapati cuaca dalam keadaan baik namun paras air di lokasi banjir masih statik sekitar 0.3 meter dan akan dibenarkan pulang selepas dipastikan selamat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – K! ONLINE