ATLET wushu negara, Tammy Tan Hui Ling berharap tahun 2024 membawa sinar buat dirinya untuk layak ke Kejohanan Wushu Asia di Macau tahun ini.
Tammy, 22, berharap dapat berlatih sebaik mungkin untuk membuat penampilan di pentas itu kerana masih mempunyai masa disebabkan tarikh kejohanan belum ditetapkan lagi.
Atlet dari Melaka itu percaya peluangnya akan lebih cerah beraksi di kejohanan tertinggi seperti Kejohanan Wushu Dunia sekiranya dapat menonjolkan kebolehannya berentap dengan lawan-lawan handalan Asia.
“Tahun baru ini saya harap dapat berlatih lebih gigih dalam usaha mencapai tahap terbaik. Harapannya agar saya diberi peluang mengambil bahagian pada Kejohanan Wushu Asia.
“Ia akan membolehkan saya meraih banyak pengalaman untuk berdiri di platform yang lebih tinggi. Jika diberikan peluang, saya akan buat yang terbaik untuk membanggakan Malaysia,” kata Tammy.
Tammy mencipta sensasi tersendiri pada tahun lepas apabila memenangi pingat emas Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Chengdu, China dalam acara Qiangshu wanita.
Ia sekali gus menamatkan kemarau 38 tahun kontinjen Malaysia untuk merangkul pingat emas pertama di temasya Universiade sejak mula mengambil bahagian dalam penganjuran di Kobe, Jepun pada tahun 1985.
Tammy yang turut meraih pingat emas pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2021 di Ubon Ratchathani, Thailand, berjaya menerima insentif bernilai RM15,000 daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hasil pencapaian bersejarahnya di pentas Universiade Chengdu.