HAJAT penjaga gol skuad wanita kebangsaan, Nur Azurin Mazlan untuk terus melebarkan ‘sayapnya’ lebih lama lagi di benua Eropah tidak kesampaian selepas tamat kontrak dengan kelab Kosovo, KFF Presingu FC.
Pemain berasal dari Selangor itu berada di Kosovo sejak 25 Ogos lalu dan dijadualkan pulang ke tanah air hari ini selepas kontraknya beraksi dalam saingan Liga Wanita Kosovo berakhir 31 Disember lalu.
Bagaimanapun, Azurin, 23, sama sekali tidak menyesal, sebaliknya berbangga kerana dapat pengalaman bernilai beraksi di luar negara buat kali kedua dalam kariernya.
“Kontrak saya sudah tamat dengan KFF Presingu selepas tidak disambung. Kita setuju untuk tidak disambung atas sebab-sebab tertentu.
“Doakan yang baik-baik untuk perjalanan kami. Insya-Allah perancangan lebih besar daripada apa yang kita jangkakan,” katanya.
Ini adalah kelab luar negara kedua buat Azurin selepas pernah beraksi cemerlang mengawal gawang Misaka United FC sehingga dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik Liga Wanita Karnataka 2022 di India.
Sebagai rekod, seorang lagi pemain wanita negara yang sebelum ini pernah beraksi dengan Selangor FC iaitu Nur Lyana Sobrey turut mewakili KFF Presingu bersama Azurin.