PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung pangkalan data portal Inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia (DELIMa) yang didakwa digodam sehingga menyebabkan sejumlah guru kehilangan akses terhadap akaun tersebut.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, platform pembelajaran dalam talian itu berada dalam keadaan baik setakat ini.
“Kita belum menerima sebarang aduan rasmi. Walau bagaimanapun, jika berlaku (digodam) minta lapor supaya kita boleh tahu. Setakat ini, semuanya dalam keadaan baik,” katanya pada sidang akhbar khas situasi terkini institusi pendidikan KPM terkesan banjir di sini, hari ini.
Beliau mengulas berhubung platform DELIMa yang didakwa berdepan serangan penggodam sehingga menyebabkan sejumlah guru kehilangan akses terhadap akaun mereka.
Semalam, media melaporkan platform pembelajaran dalam talian di bawah KPM itu diserang penggodam secara berperingkat dengan menukar kata laluan akaun guru dan menggunakannya untuk tujuan peribadi.
“Sekiranya e-wallet, akaun Shopee atau Lazada cikgu menggunakan e-mel Kementerian Pendidikan sila set semula kata laluan dengan kadar segera. Jangan guna akaun tersebut untuk sebarang urusan dalam talian melibatkan duit.
“Penggodam beli permainan dalam talian dan bayar menggunakan e-wallet cikgu,” menurut mesej tular. – KOSMO! ONLINE