fbpx

Konflik Palestin-Israel: Ribuan askar Zionis berundur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEJUMLAH askar Rejim Zionis kembali ke selatan Israel dari Gaza, 31 Disember lalu. - AFP

TEL AVIV – Beribu-ribu askar Israel mula berundur dari Semenanjung Gaza kelmarin, yang merupakan pengunduran penting pertama sejak perang menentang Hamas bermula pada 7 Oktober lalu, kata tentera Rejim Zionis seperti dilaporkan akhbar New York Post.

Pergerakan askar-askar itu mungkin memberi isyarat bahawa pertempuran sedang dikurangkan di beberapa kawasan di Gaza terutamanya bahagian utara.

Israel sebelum ini mendakwa bahawa ia hampir mengambil alih kawalan operasi di bahagian utara wilayah Palestin tersebut.

Tentera Rejim Zionis dalam satu kenyataan kelmarin berkata, lima briged atau beberapa ribu askar akan dibawa keluar dari Gaza dalam tempoh beberapa minggu akan datang untuk tujuan latihan dan rehat.

Dalam satu taklimat yang pertama kali mengumumkan pengunduran tentera itu pada Ahad lalu, jurucakap tentera, Daniel Hagari bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas sama ada keputusan itu bermaksud Israel akan melancarkan fasa baharu perang.

“Objektif perang memerlukan pertempuran yang berpanjangan, dan kami sedang bersiap sedia,” katanya tanpa menyatakan bilangan askar yang akan meninggalkan Gaza secara tepat.

Tambah tentera Israel, langkah itu adalah sebahagian daripada operasi fasa ketiga mereka di Gaza, di mana mereka menjangkakan pertempuran akan berterusan pada tahun ini.

Menurutnya, secara keseluruhan, terdapat tujuh briged masih bertempur di Khan Younis.

Dalam fasa ketiga, askar Zionis berkata, ia hanya memerlukan pasukan yang cukup untuk menghalang Hamas daripada membentuk semula kekuatan di kawasan yang pernah dikuasainya. 

“Apabila fasa tiga beralih sepenuhnya, kami menjangkakan pertempuran akan berterusan dari tiga hingga sembilan bulan,” kata Hagari sambil menambah, pengunduran hanya bermaksud peralihan dalam taktik, dan bukan mengurangkan intensiti pertempuran.

Israel dilaporkan berada di bawah tekanan sekutu utamanya, Amerika Syarikat (AS) untuk mula beralih kepada pertempuran yang berintensiti rendah.

Namun, pertempuran sengit masih berterusan di kawasan lain di Gaza terutamanya bandar selatan, Khan Younis dan kawasan tengah wilayah tersebut. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI