SKUAD Harimau Malaya perlu turun beraksi tanpa sebarang tekanan pada kempen Piala Asia 2023 di Qatar kali ini meskipun bakal berdepan pemain bola sepak handalan dunia khususnya daripada pasukan Korea Selatan.
Sebagai rekod, Malaysia diundi bersama Jordan, Bahrain dan Korea Selatan dalam Kumpulan E pada saingan yang akan membuka tirainya secara rasmi pada 13 Januari ini.
Atas kertas, Korea Selatan yang menduduki ranking No.23 dunia adalah ancaman terbesar berdasarkan senarai pemain bertaraf bintang yang dimiliki seperti seperti Son Heung-min, Hwang Hee-chan dan Kim Min-jae.
Pemain tengah berpengalaman, Natxo Insa percaya pasukan negara perlu yakin dengan keupayaan masing-masing selain tidak perlu menghiraukan tentang kekuatan pasukan lawan.
“Secara jujur, saya rasa kita memiliki skuad yang bagus dengan senarai pemain berkualiti termasuk beberapa tonggak muda yang sudah mengharungi banyak perlawanan kompetitif sebelum ini.
“Dengan skuad yang ada, saya rasa sekarang adalah masa untuk pasukan menikmati setiap perlawanan yang bakal diharungi nanti kerana sedar skuad lawan ada pemain yang berpangkalan di Liga Perdana Inggeris.
“Ini adalah masa untuk kita ukur kekuatan pasukan dan dalam masa sama tidak perlu bermain dalam keadaan tertekan.
“Sebaliknya, kita percaya dengan kekuatan masing-masing selain fokus satu demi satu perlawanan dan bekerja keras,” kata pemain tertua skuad negara kali ini pada usia 38 tahun.
Insa yang juga tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) turut berharap dapat menyumbangkan pengalaman yang ada padanya terutama ketika bermain di pentas Eropah kepada skuad kendalian Kim Pan-gon itu.
“Saya telah berada dalam bola sepak profesional hampir 20 tahun dan sudah tentu sangat teruja untuk menjadi sebahagian daripada pasukan bagi mengharungi kejohanan cukup penting kali ini,” kata pemain berdarah warisan kelahiran Sepanyol itu.