SUDAH mengumumkan tempoh rehat sepanjang tahun ini, kumpulan Noah baru-baru ini menyempurnakan komitmen besar pada malam 1 Januari 2024.
Konsert dinamakan Gempita 2024 SCTV tersebut menyaksikan Noah membawakan 12 lagu popular termasuk Menghapus Jejakmu dan Separuh Aku.
Berlangsung penuh sorak, namun tidak ramai tahu vokalisnya, Ariel berhadapan masalah pita suara yang berpunca daripada kecederaan tekak.
Menurut penyanyi berusia 42 tahun itu, persiapan konsert Gempita 2024 SCTV tetap menjadi keutamaan demi sebuah momen indah sebelum Noah bercuti panjang.
Nyata Ariel tidak mengecewakan peminat apabila rata-rata melayangkan pujian kepadanya dan anggota Noah lain sekali gus dianggap sebagai konsert penutup terindah buat Noah yang sudah lebih 20 tahun aktif dalam dunia muzik.